ORGANISASI

PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.                                                                                                                                                                                                                                                           

Selamat datang diucapkan kepada pengunjung Laman Web Rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka. JKR Melaka merupakan salah satu agensi teknikal utama Kerajaan Malaysia yang telah diamanahkan untuk melaksanakan projek pembangunan dan penyenggaraan aset Kerajaan serta memberi perkhidmatan kejuruteraan kepada agensi awam dan Kerajaan di negeri Melaka.

Perkembangan teknologi sedunia yang semakin canggih telah mengeratkan komunikasi antara satu sama lain dengan mudah dan pantas. Dengan itu, Laman Web JKR Melaka merupakan agen media sumber maklumat dan komunikasi antara JKR Melaka dengan orang awam. Sejajar dengan hasrat Dasar Transformasi Negara bagi menuju ke arah status sebeuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kami sebagai salah satu agensi Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk memulakan langkah transformasi perkhidmatan awam iaitu perubahan yang melibatkan tindakan, sifat dan persekitaran yang berlaku secara tersusun dan bertahap mengikut perancangan yang ditetapkan dalam usaha untuk mencapai keberhasilan strategik. Pembaharuan kepada perkhidmatan awam penting bagi memastikan rakyat mendapat manfaat menerusi pencapaian keberhasilan yang berimpak tinggi.

Melalui laman web ini, JKR Melaka telah menyediakan maklumat kepada tiga golongan pengguna utama iaitu kontraktor/perunding, orang awam dan warga JKR. Kontraktor/perunding boleh mengetahui maklumat seperti jadual harga tender/ sebutharga, iklan tender/ sebutharga apabila melayari laman web ini. Orang awam boleh mengetahui maklumat jalan melalui Peta Jalan dan Direktori Pegawai yang hendak dihubungi juga disediakan untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan. Selain itu, sebarang cadangan/ aduan boleh dibuat dengan melayari laman web ini yang telah dikaitkan ke Laman Web Aduan JKR Malaysia dan Kementerian Kerja Raya. Warga JKR Melaka pula boleh mendapat maklumat yang berkaitan dengan kerja hakiki mereka seperti Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB), Sistem MyKJ, Sistem Latihan dan sebagainya melalui laman web ini.

Kami berharap pengguna selesa melayari laman web ini dan mengalu-alukan sebarang aduan/pertanyaan/cadangan daripada pengguna. Maklumbalas dan cadangan yang berguna untuk kebaikan jabatan ini sangatlah dihargai. Mudah-mudahan kami dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk anda.

Akhir sekali saya ingin menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan agar dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap kerja dan aktiviti yang dianjurkan oleh jabatan. Semangat bekerja yang tekad, efisien dan harmoni serta modal insan yang kreatif dan inovatif adalah penting bagi membolehkan kita mencapai Visi dan Misi Jabatan .

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

“MELAKAKU MAJU JAYA, RAKYAT BAHAGIA, MENGGAMIT DUNIA”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

YBrs TUAN Ir. Hj. MOHAMAD SALZELI BIN MOKTAR

Pengarah
Jabatan Kerja Raya Melaka.


Tarikh Akhir Kemaskini :: 13-11-2024 :: 02:53 PM